Wednesday, 11 November 2015

SUMBANGAN SEJARAH ISLAM TERHADAP PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN MALAYSIA

1.0  PENGENALAN
Menurut Mohd Liki Ahmad (2003), tiap-tiap tamadun utama dunia meninggalkan cebisan-cebisan sumbangan ke atas tamadun-tamadun lain yang sezaman dengannya. Apabila sumbangan sesuatu tamadun utama itu berjaya melepasi sempadan zamannya, serta dapat diterima sebagai sumbangan yang bersifat sejagat oleh tamadun lain, maka aspresiasi ke atas sumbangan itu menjadi lebih ironis dan bermakna. Begitu juga halnya dengan tamadun Islam dalam mempegaruhi perkembangan di negara Malaysia sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga ke hari ini.
Terdapat pelbagai teori yang dikaitkan dengan perkembangan ketamadunan Islam di Malaysia, antaranya adalah teori kedatangan dari Arab, China dan India. Penguasaan pedagangan dari Arab telah yang telah memonopoli perdagangan di rantau India, Mesir dan Asia Tenggara bertanggungjawab ke atas penyebaran Islam di Alam Melayu dan Asia. Rentetan daripada itu, berlakulah proses asimilasi, akulturasi, dan akomodasi di Malaysia. Jadi, penulisan kali ini akan membincangkan mengenai sumbangan-sumbangan Sejarah Islam terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa pengaruh Sejarah Islam telah membawa banyak perubahan dan kesan kepada corak pemikiran dan sosio-budaya masyarakat di Malaysia. Misalnya agama Islam telah membawa banyak ajaran dan tamadun yang lebih tinggi dan lengkap, lebih rasional dan logik serta lebih mudah diterima oleh masyarakat Malaysia. Berpandukan kepada konsep rasionalisme inilah, masyarakat Malaysia dengan sendiri menolak kepercayaan tahyul dan fahaman animisme (Abdullah Ishak, 1992).
Penulisan ini akan membincangkan beberapa sumbangan yang dibawa oleh Sejarah Islam seperti dari aspek Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Islam menggalakkan budaya ilmu, Sejarah Islam dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat, penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat, pembentukan masyarakat Madani, Islam Hadhari dan konsep kesederhanaan (wasatiyyah). Sumbangan setiap Sejarah Islam ini akan disertakan dengan contoh-contoh yang dapat dijadikan sebagai bukti.


2.0 SUMBANGAN SEJARAH ISLAM TERHADAP PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN MALAYSIA

 2.1 Agama Islam Sebagai Agama Rasmi Persekutuan
Pertama, sumbangan Sejarah Islam terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia ialah agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Menurut Sazelin Arif et.al (2006), agama Islam memainkan peranan penting dalam kelangsungan tamadun Melayu sebagai asas Tamadun Malaysia. Sejak zaman sejarah sehingga kini, tamadun Melayu telah dimantapkan oleh agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi di Melaka pada suatu ketika dahulu. Sehubungan itu, beberapa institusi Islam didirikan bagi membantu mengukuhkan sistem pentadbiran berasaskan Islam. Contohnya, Jabatan Agama dan Syariah. Berdasarkan agama Islam juga, Undang-Undang Laut dan Hukum Kanun Melaka dihasilkan. Beberapa jawatan seperti kadi, imam dan sebagainya diwujudkan bagi melaksanakan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Agama Islam sebagai asas pembinaan tamadun di Malaysia turut merangkumi semua aspek kehidupan. Islam bukan setakat upacara ibadat pemujaan Tuhan di masjid dan tempat-tempat khusus pada masa-masa tertentu sahaja. Sebaliknya Islam mengatur segala aspek kehidupan manusia dan memandu manusia ke arah pembentukan individu muslim melalui aspek-aspek seperti kepercayaan, peribadatan, pembentukan akhlak, muamalat, muasayarat, munakahat dan jenayah (Hashim Musa, 2004). Dengan adanya penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan masyarakat akan dapat membantu kelangsungan tamadun Melayu yang bercorak tamadun Melayu-Islam.
            Impaknya, agama Islam telah diberikan kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding agama-agama yang lain. Kedudukan Islam yang istimewa ini tidak harus dipertikaikan memandangkan peruntukan mengenainya ditunjangi oleh Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan itu pula adalah hasil kompromi dan permuafakatan bersama pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Kenyataan pengaruh Islam terhadap Malaysia jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 1, Perkara 3:
“Agama Islam adalah agama rasmi untuk Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan mengapa Islam menjadi agama Pesekutuan. Sebagai Agama Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan di negara ini berbanding agama-agama yang lain. Apa yang penting dalam hal ini ialah, betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama ini menghayati sejarah negara. Tujuannya, agar setiap peruntukan penting dalam undang-undang di negara kita dapat difahami mengapa ia berlaku sedemikian rupa. Pemahaman mendalam mengenai sejarah negara dan undang-undang tidak syak lagi dapat mengikis rasa ketidakpuasan hati mana-mana pihak terhadap suatu peruntukan undang-undang itu (Sazelin Arif, et. al, 2006).
Dengan peruntukan ini membolehkan kerajaan termasuk kerajaan negeri melaksanakan pembangunan Islam dalam pelbagai bidang kuasa dan melaksanakan pentadbiran hukum syariah Islam tetapi dalam bidang kuasa yang terhad. Walaupun agama Islam adalah agama Persekutuan, namun agama-agama lain bebas diamalkan oleh orang-orang bukan Melayu dan bukan Islam dalam Persekutuan. Agama Islam berjaya menyatupadukan masyarakat Melayu dan dengan kekuatan yang ada pada masyarakat Melayu, peranan agama Islam amat penting dalam kelangsungan tamadun Melayu. Hasil daripada penyebaran agama berlakulah juga penyebaran ilmu di negara kita, tidak kira ilmu agama ataupun ilmu pendidikan.

2.2 Budaya Ilmu
Menurut Samri Sainuddin (2003), masyarakat yang berilmu ialah masyarakat yang berjaya membina negara ke arah negara yang lebih maju, canggih, dan sama taraf dengan negara-negara maju yang lain memerlukan perwujudan satu masyarakat yang berilmu tinggi dalam semua bidang. Dalam konteks ini jelas bahawa penekanan kepada konsep berilmu ini adalah selaras dengan ajaran agama Islam yang mengkehendaki manusia sentiasa berfikir dan belajar. Bagi Islam menuntut ilmu adalah satu proses sepanjang hayat. Galakan Islam dalam menuntut ilmu bertujuan untuk meninggikan darjat manusia. Oleh itu, kita akan melihat sumbangan sejarah Islam terhadap pembangunan dan kecemerlangan dalam aspek budaya ilmu.
Budaya ilmu bermaksud kewujudan suatu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan, dan keadaan di mana segala tindakan manusia, baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan. Dalam budaya ini, ilmu dianggap sebagai suatu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat (Wan Mohd Nor Wan Daud,1992). Selaras dengan kepentingannya, Islam merupakan agama yang sangat mementingkan dan menitikberatkan umatnya agar menuntut ilmu. Perkara ini amat jelas apabila al-Quran sendiri memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun Islam agar umatnya terus menyelidiki sesuatu perkara. Hal ini dibuktikan di dalam wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam surah al-Alaq ayat 1-5 (al-Alaq 96: 1-5) yang bermaksud:

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang diketahuinya”.

Menurut Muhammad Naquib al-Attas (1972), kedatangan Islam telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat di Alam Melayu ke arah bersifat ilmiah dan saintifik serta dapat meninggalkan era sebelumnya yang mengutamakan sesuatu yang bersifat tahyul dan khayalan untuk menuju ke sesuatu yang berbentuk realistik. Setelah adanya pengaruh Islam, kegiatan agama, ilmu dan pendidikan Islam diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh para ulama dan para pendakwah. Pada ketika itu, seluruh masyarakat termasuk golongan istana serta rakyat jelata didedahkan dengan ilmu pengetahuan Islam. Jadi secara langsung atau tidak langsung telah mengubah pandangan dan tanggapan masyarakat terhadap pegangan agama, kebudayaan dan ilmu pengetahuan.

Contohnya, Islam telah membawa transformasi dalam sistem pendidikan. Sistem pendidikan yang bermula di istana mula beralih kepada institusi pendidikan islam seperti pondok dan madrasah. Tradisi keilmuan yang ditekankan oleh Islam mengembangkan pula tradisi pendidikan dan pengajaran secara lebih tersusun. Dorongan belajar bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan kitab-kitab. Golongan pemerintah dan pembesar-pembesar berperanan penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Impaknya, lahirlah para cendiakawan dan ulama-ulama Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli ulama. Antara tokoh-tokoh Melayu yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak dan ramai lagi (Hashim Musa, 2004). Tokoh-tokoh ini telah banyak menyumbang ke arah perkembangan ilmu pengetahuan di Malaysia.
Selain itu, turut wujud juga keseimbangan antara ilmu agama dan dunia dalam kurikulum pendidikan dalam Islam. Rentetan itu, wujudlah dasar-dasar pendidikan dan institusi perkembangan ilmu di Malaysia sehingga kini. Contohnya, di Malaysia sejarah pendidikannya melalui proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan negara bangsa sejak merdeka lagi. Evolusi pendidikan telah melalui lima fasa iaitu Zaman Pra Merdeka (sebelum 1957), Zaman Pasca Merdeka 91957-1970), Zaman Dasar Ekonomi Baru 91971-1990), Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar Wawasan 2020 (2001-2010).
Pengenalan kurikulum seperti Pendidikan Islam kepada murid Islam dan Pendidikan Moral kepada bukan Islam turut diperkenalkan di sekolah. Bukan itu sahaja, wujud sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan dan memperkenalkan kurikulum Islam. Contohnya, wujud sekolah agama yang menggalakkan pelajar-pelajar yang ingin mendalami mata pelajaran ilmu agama. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Islam Antarabangsa sendiri telah menjadi pusat perkembangan ilmu agama kepada mahasiswa dan mahasiswi dari dalam dan luar negara.
Kesimpulannya, Islam sangat mementingkan budaya ilmu. Banyak persoalan dapat dibincangkan dalam perkara-perkara yang mempunyai hubung kait dengan ilmu. Antara yang penting ialah melalui ilmu pengetahuan, manusia memperoleh kesejahteraan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Melalui ilmu manusia menjadi khalifah Allah di dunia dengan baik dapat mentadbir kehidupan sehariannya dengan lebih tersusun dan sempurna. Perkara-perkara yang tidak baik menurut agama dan akal, dapat dihindari apabila manusia boleh menilainya dengan ilmu yang ada dalam dirinya. Justeru itu, menuntut dan mempelajari ilmu merupakan kemestian di dalam diri setiap individu bergelar manusia.

2.3 Pemikiran Masyarakat
Bukan itu sahaja, sejarah Islam turut membawa perubahan yang besar dan ketara dalam mengubah kepercayaan dan corak pemikiran masyarakat di Malaysia. Pengaruh Islam telah membawa unsur-unsur yang rasional, lebih intelektual dan bersifat logik. Kita diajar supaya mempercayai Tuhan iaitu Allah Yang Maha Esa. Secara logiknya, dunia ini tidak boleh dipimpin dan diperintah oleh banyak Tuhan. Jadi, melalui pegangan agama dan al-Quran telah menetapkan agar mempercayai satu Tuhan sahaja. Sekiranya dunia ini dipimpin oleh banyak tuhan sudah pastilah dunia akan menjadi huru-hara dan berlaku percanggahan pendapat dan perintah dalam kalangan Tuhan yang banyak itu. Oleh yang demikian, memang logik dan benarlah bahawa Tuhan hanya satu iaitu Allah S.W.T. Yang Maha Berkuasa.
Pandangan serta falsafah pemikiran masyarakat pada suatu ketika dahulu turut berubah setelah mereka menerima ajaran Islam. Sebagai contoh, Islam menyuruh umatnya supaya berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal agar disenangi dan dihormati oleh semua orang. Jika gagal sekalipun, Islam menyuruh umatnya agar tabah dan sabar serta menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan redha dengan ketentuan-Nya, bukannya berputus asa dan membunuh diri. Islam juga mengarahkan manusia supaya hidup secara aman dan harmoni serta mewujudkan perpaduan. Masyarakat dibentuk dengan sifat dan rasa tanggungjawab serta saling bantu-membantu antara satu sama lain, sifat atau akhlak yang mulia amat ditekankan oleh Islam.
Mereka juga ditiupkan dengan semangat kerjasama dan perpaduan dengan menganggap bahawa seluruh umat Islam adalah satu anggota. Akibat daripada semangat tersebut, muncul konsepsi bahawa seluruh umat Islam di dunia ini adalah bersaudara. Melalui sikap ini juga peristiwa hitam seperti 13 Mei 1963 dapat dielakkan dan dihindari sekali lagi. Dengan cara itu terbentuklah masyarakat yang bersatu padu dan mempunyai hubungan yang erat, walaupun masyarakat tersebut terdiri dari pelbagai bangsa dan keturunan. Secara tidak langsung, apabila hubungan masyarakat sudah kukuh tali persaudaraannya, tentunya negara mereka menjadi kuat dan stabil serta dapat mempertahankan diri daripada gangguan dan ancaman anasir-anasir luar. Jelaslah bahawa ajaran al-Quran memainkan peranan penting dalam pembentukan sikap masyarakat di Malaysia.

2.4 Penerapan Nilai-nilai Islam
Pembangunan Islam dalam tahun 1970-an juga dikaitkan dengan kembalinya Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad (kini bergelar Tun) ke arus perdana politik Malaysia. Di bawah kepimpinan Tun, kerajaan Malaysia dilihat banyak menyokong dasar-dasar berkaitan pembangunan Islam. Setelah Tun Dr. Mahathir kembali aktif dalam politik, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1974. Dalam tahun 1976, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan lima tahun kemudian sebagai Perdana Menteri oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada ketika itu.
Kesungguhan Tun Dr. Mahathir terhadap pelaksanaan Islam menyerlah setelah beliau menjadi Perdana Menteri. Dalam tahun pertama pelantikannya, iaitu pada tahun 1981, kerajaannya telah mengumumkan penganjuran seminar besar bertajuk “The Concept of Development in Islam”, yang merupakan saranan-saranan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan yang menyentuh aspek berkaitan undang-undang, ekonomi, pendidikan dan sains serta teknologi. Petanda awal yang menunjukkan minat pentadbiran Mahathir terhadap Islam secara rasminya telah diisytiharkan pada tahun 1984 ke arah ‘mengislamkan’ jentera kerajaan (Hussin Mutalib, 1993). Bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan dasar tersebut, Mahathir menyatakannya seperti berikut:
“Apa yang kita maksudkan sebagai Islamisasi ialah penyerapan nilai-nilai dalam kerajaan. Penyerapan tersebut tidak sama seperti pelaksanaan undang-undang Islam dalam negara. Undang-undang Islam adalah untuk orang Islam dan bermaksud untuk undang-undang peribadi mereka. Akan tetapi undang-undang bangsa, walaupun tidak berasaskan Islam boleh digunakan selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam”.
Walaupun undang-undang Islam tidak ditujukan kepada golongan bukan Islam, namun kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir telah pun memperkukuhkan program-program yang berkaitan Islam dan melaksanakan dasar-dasar lain yang sehubungan dengannya. Ini termasuklah pengisytiharan untuk mengkaji semula sistem undang-undang negara agar sistem ini selari dengan undang-undang Islam, menjadikan Ilmu Agama sebagai mata pelajaran dalam peperiksaan, meningkatkan program-program berkaitan Islam untuk siaran radio dan televisyen Malaysia.
Selain usaha yang bersifat simbolik dan berlandaskan kepada keputusan yang berbentuk pentadbiran, Mahathir juga turut memperkenalkan dasar yang lebih jelas lagi yang melibatkan doktrin, pendidikan dan ekonomi. Contohnya, dalam tahun 1980, sebaik-baik sahaja menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau telah membentangkan asas-asas yang kemudiannya menjadi rukun dalam strategi rasmi pembangunan Malaysia iaitu, pembangunan ekonomi tidak akan menjadi kenyataan tanpa pembangunan kerohanian dalam Dasar Ekonomi Baru.
Pada tahun 1982, kerajaan juga memperkenalkan satu lagi program untuk memupuk nilai-nilai Islam dalam pentadbiran awam. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam diperkenalkan untuk memberi penekanan tentang kepentingan dedikasi, akauntabiliti, keboleh percayaan dan rasa tanggungjawab dalam pentadbiran perkhidmatan awam dan politik kerajaan. Pada masa yang sama konsep masyarakat madani yang dipopularkan oleh Dato’ Seri Anwar, menjadi wacana akademik dalam usaha membentuk masyarakat sivil yang bertanggungjawab bagi mempertingkat akauntabiliti kerajaan berdasarkan kerangka (framework) etika dan nilai-nilai Islam (Shahirah Mahmood, 2006). 

2.5 Masyarakat Madani
Menurut Noresah Baharom et. al (2010), masyarakat madani ialah masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dn kebendaan. Slogan ‘Masyarakat Madani’ muncul apabila diucapkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu di Syarahan Festival Istqlal, di Jakarta pada 26 September 1995. Ketika itulah kalimah masyarakat Madani bermula dan susulan daripada itu berlangsung satu seminar peringkat kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia bagi membincangkan idea menubuhkan masyarakat Madani di Malaysia. Menurut Naquib Al-Attas (1972), masyarakat Madani didirikan atas konsep din iaitu agama. Kalimah ‘Madani’ daripada istilah ‘din’ dan di situlah agama menjadi teras dalam menjalani kehidupan. Amanah, jujur, ikhlas, taat perintah Tuhan dan sebagainya yang berdiri atas agama menjadi pekerjaan utama. Malah masyarakat Madani adalah jelmaan ‘masyarakat Madinah’ ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w.

            Melalui pengenalan masyarakat Madani di Malaysia, ianya merupakan wadah untuk membudayakan masyarakat Malaysia. Kurikulum dalam sistem pendidikan Malaysia sama ada secara formal atau tidak formal mampu menyusun dan membentuk masyarakat madani. Dalam merancang pelaksanaan konsep ini, beberapa perkara mesti diberi perhatian seperti sistem sosial haruslah cekap dan saksama serta pelaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang dan bukan nafsu atau kepentingan individu. Masyarakat juga harus mengamalkan akhlak terpuji dan boleh diteladani. Usaha menghasilkan masyarakat madani akan dapat melahirkan warganegara yang berpegang kepada teras keimanan dan ketuhanan, mempunyai ketahanan diri, memiliki identiti bangsa Malaysia, tahap kepimpinan yang dinamik, berpandangan jauh, kreatif dan inovatif, citra diri yang tinggi, berdisplin dan amalan hidup yang cemerlang.
2.6 Islam Hadhari
Setelah adanya masyarakat Madani, muncul pula Islam Hadahari yang turut membawa perkembangan dalam pembangunan dan kecemerlangan di Malaysia. Menurut Ratna Roshida dan Muhammad Hasrul (2010), Islam Hadhari telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia. Islam Hadhari yang diperkenalkan semasa kempen pilihan raya tahun 2004 mempopularkan ‘idea progresif Islam’ dan menjelaskan lagi pendirian pihak pemerintah tentang dasar-dasar berhubung pembangunan Islam. Walaupun Islam Hadhari pada peringkat permulaannya menerima pelbagai reaksi dan tafsiran sama ada di dalam mahupun di peringkat global, namun begitu, Islam Hadhari telah pun menjadi satu dasar kerajaan di peringkat nasional yang dilaksanakan dalam pentadbiran beliau.

Islam Hadhari merupakan satu pendekatan pembangunan manusia yang menyeluruh berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam. Pembangunan tamadun mestilah bermula dengan pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Untuk membangunkan manusia demi membentuk sebuah kehidupan yang produktif, al-Quran telah memberi panduan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Justeru apa yang menjadi hasrat mantan Perdana Menteri dengan memperkenalkan konsep Islam ini ialah untuk memudahkan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam memahami dan seterusnya mempraktikkan Islam secara menyeluruh sehingga dapat menghasilkan kemajuan, beracuankan prinsip dan ajaran-ajaran Islam yang mencakupi tuntutan dunia, akhirat juga jasmani dan rohani.

Jadi, dalam usaha menuju ke arah pembangunan dan kecemerlangan di Malaysia, peningkatan mutu kehidupan adalah salah satu aspek yang penting. Peningkatan ini boleh dihasilkan melalui sistem pembinaan insan iaitu akhlak, penguasaan ilmu dan pembangunan fizikal yang banyak dihasilkan melalui penguasaan teknologi. Sehubungan dengan itu, agenda-agenda pembangunan tersebut perlulah ada bersamanya kecekapan, kemahiran dan kesenian. Ringkasnya agenda pembangunan ini boleh disimpulkan dalam 10 prinsip yang mendasari Islam Hadhari ini iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, kerajaan yang adil dan beramanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, kelima iaitu pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemuliharaan alam semula jadi serta kekuatan pertahanan. (Sidek Fadzil, 2004).

Sebagai contoh, dalam prinsip yang ketujuh iaitu pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, jalinan penjagaan hak dalam Islam Hadhari turut didokong menerusi undang-undang dan perlembagaan negara. Al-Quran telah merakamkan tentang penjagaan hak di atas menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat (49) ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku (puak) supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsa). Sesungguhnya Allah amat Mengetahui lagi amat mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Kesan dari ayat di atas juga menyebabkan jaminan pemerintah terlaksana ke atas golongan minoriti termasuk wanita juga. Kedudukan wanita disanjung dan diberi hak yang sewajarnya. Perkara ini dapat dilihat di dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan hak asasi. (Perlembagaan Persekutuan, 2000: Bahagian Kedua, perkara 8). Wanita dalam Islam Hadhari amat menggalakkan pendidikan berterusan sesuai dengan slogan ‘Pendidikan Sepanjang hayat’. Wanita tidak diketepikan dari arus pembangunan malah dijadikan daya saing yang kuat untuk kaum lelaki berusaha gigih dan bersifat inovatif dalam arus perdana. Jelaslah bahawa kemampuan tersebut menjadi mercu tanda pembangunan  personaliti.
Seterusnya, kita melihat pula sumbangan Sejarah Islam dalam prinsip ke-9 iaitu pemuliharaan alam semulajadi. Dalam memupuk pemuliharaan alam semulajadi, Islam menekankan peri pentingnya masyarakat memahami Huquq al’-Alam (Hak-hak Alam) di mana perlakuan dan perbuatan yang menyebelahi hak di atas adalah dilarang sama sekali. Oleh itu, kesedaran dalam kalangan manusia dapat membantu usaha-usaha pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan menangani kelemahan dan pemantauan terhadap golongan yang kurang sikap ketamadunnya. Dalam menjamin kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat, Malaysia telah berusaha dan menandatangani dua deklarasi yang melibatkan alam sekitar iaitu Deklarasi Rio De Janeirio (1993) dan Protokol Kyoto (1997). Malaysia melalui ASEAN telah berusaha gigih memastikan negara-negara ASEAN bebas dari memiliki dan menjalankan aktiviti sejanta nuklear. Malaysia turut mengadakan Deklarasi Langkawi bagi menjamin keutuhan dan pembangunan selaras dengan kehendak alam.
Selain itu, dalam prinsip kekuatan pertahanan, Islam Hadhari turut memfokuskan pertahanan secara konvensional. Jika ditinjau kekuatan surah al-Fiil, jelas mendesak kekuatan pertahanan perlu dititik-beratkan. Atas dasar ini, Islam Hadhari turut memberi perhatian utama dengan melengkapkan serta menguasai kelengkapan pertahanan ke tahap yang diperlukan. Contohnya, usaha kerajaan melancarkan Satelit Asia Timur Malaysia iaitu Measat-1 dan Measat-2 adalah memenuhi sebahagian keperluan pertahanan, selain usaha jangka masa panjang negara dengan menghantar rakyat Malaysia pertama iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menyertai misi aeroangkasa pada tahun 2007 (Hassan Mohd Noor, 2006). Jelaslah bahawa kejayaan Malaysia telah membuka mata negara-negara Islam lain untuk berusaha dan berdaya maju bagi mempertahankan negara dan umat Islam dari sebarang bentuk penindasan dan keganasan.
Tuntasnya, gagasan Islam Hadhari yang dikemukakan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi  adalah satu medan untuk umat Islam bagi membentuk semula pembangunan dan kecemerlangan Islam. Perkara ini juga merupakan satu peluang bagi membuka minda dan lembaran baru bagi masyarakat bukan Islam supaya dapat meneliti dan memahami nilai keislaman untuk dijadikan sandaran dalam mengerakkan inisiatif memakmurkan negara Malaysia.

2.7 Konsep Kesederhanaan
Konsep kesederhanaan merupakan satu budaya yang telah diterapkan oleh Nabi Muhammad. Menurut Noor Hisham Md Nawi (2010), kesederhanaan tidak hanya ditentukan oleh wasilah atau bentuk luaran seperti kuantiti dan bentuk harta bahkan hakikatnya banyak ditentukan oleh faktor niat dan tujuan. Meskipun secara umumnya kesederhanaan itu mungkin berbeza menurut tahap keilmuan, kerohanian, bebanan tanggungjawab yang dipikul dan kesanggupan serta keperluan konteks yang berbeza-beza, namun intipati maknanya tetap sama dan utuh. Budaya sederhana yang dianjurkan Islam cukup indah dan mendaulatkan prinsip keadilan serta kemanusiaan kepada setiap insan dalam membina generasi Islam yang begitu mantap dan berkualiti. Salah satu pengertian kesederhanaan turut boleh berlaku dalam pelbagai dimensi seperti kesederhanaan dalam berusaha, kesederhanaan dalam pencapaian, kesederhaan dalam menuntut ilmu, kesederhanaan dalam berfikir dan kesederhanaan dalam ketaatan kepada Tuhan.

Seperti kata ulama, kesederhanaan bukan bererti pentengahan semata-mata tetapi adalah suatu kelebihan dan keutamaan kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya. Memetik kata-kata alim ulama, kebaikan terletak di antara tengah-tengah dua keburukan. Hal ini bermakna memilih untuk bersederhana adalah pilihan yang membawa kepada kebaikan manakala keberanian adalah suatu kelebihan. Mengambil petikan ayat suci al-Quran yang bermaksud:
 “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Al- Furqan: 67).

Jelaslah ayat ini mengajak umat Islam dan bukan Islam supaya memilih kehidupan yang sederhana sebagai satu pilihan terbaik, tidak kedekut dan tidak boros atau berlebihan dalam melakukan sesuatu perkara sehingga perbuatan mereka dikutuk oleh Allah. Ajaran Islam mementingkan kehidupan pertengahan dan seimbang antara jasmani dan rohani. Segala keperluan kehidupan di dunia yang perlu dituntut akan diperolehi secara fardhu kifayah demi membantu terbentuknya insan Muslim, Mukmin dan Muhsin. Setiap individu muslim perlu mengimbangi keperluan dunia dan akhirat dalam mencari keredhaan Allah SWT.

Konsep kesederhaan atau wasatiyyah secara sedar dan tidak sedar sebenarnya harus diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Menurut Zulkiflee Haron (2005), orang Islam digalakkan besederhana dalam soal-soal kemudahan seperti pakaian, tempat tinggal dan kenderaan. Bagi wanita pula, sekiranya barang kemas yang dipakai berlebihan ia akan dikenakan zakat. Majlis perkahwinan juga harus diadakan dengan sederhana. Bahkan Nabi Muhammad s.w.a juga pernah menasihati agar diadakan mas kahwin yang paling sederhana. Islam telah menggariskan dasar yang cukup jelas iaitu jangan melakukan pembaziran. Pembaziran memusnahkan perkara yang berfaedah atau menggunakan lebih daripada keperluan.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal menjelang Kemerdekaan Tanah Melayu jelas mengandungi nilai-nilai kesederhanaan seperti berlaku adil kepada semua kaum, seimbang dan sederhana dalam amalan dan tindakan mereka. Apa yang penting ialah perlembagaan ini yang masih dipakai sehingga kini masih mengekalkan peruntukan seperti kewarganegaraan, hak istimewa kaum Melayu dan orang bukan Melayu, agama dan bahasa, serta hak asasi manusia. Oleh itu, persetujuan dan pesefahaman antara penduduk berbilang kaum di Malaysia dikenali dengan kontrak sosial yang kemudiannya diterima pakai oleh masyarakat. Pendekatan wasatiyyah ini kemudiannya terus menjadi amalan kerajaan semenjak merdeka sehinggalah kini.

Bukan itu sahaja, di bawah kepimpinan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, beliau telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Perdana Menteri telah menyarankan pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan, pertengahan, berimbang, adil dan cemerlang. Perkara yang menarik dalam konsep ini adalah ianya selaras dan tidak bercanggah dengan dasar-dasar sebelumnya seperti dasar muhibbah dan meninggikan syiar Islam di zaman Tunku Abdul Rahman Rahman, Dasar Pembangunan Tun Abdul Razak, Dasar Perpaduan Tun Hussein Onn, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Tun Dr. Mahathir, Dasar Pendekatan Islam Hadhari Tun Abdullah Ahmad Badawi. Konsep wassatiyah juga sesuai dan selaras dengan perlembagaan yang mencatatkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama kepada penganut-penganut agama lain.

Sebagai contoh, apabila melihat kepada populasi masyarakat Malaysia, kita mendapati 60% penduduk Malaysia beragama Islam, manakala 40% lagi menganut pelbagai agama seperti Buddha, Tao, Konfusuionisme, Kristian, Hindu, Sikh dan lain-lain. Sebenarnya penghayatan nilai-nilai kesederhanaan dalam pentadbiran Malaysia bermula secara tidak langsung sejak sekian lama yang bertujuan untuk menghayati perpaduan dan mewujudkan keharmonian. Nilai kesederhanaan dalam politik Tanah Melayu menyaksikan hak kerakyatan yang asalnya adalah milik mutlak orang Melayu turut diberi kepada kaum pendatang yang dibawa oleh penjajah asing. Dasar kerakyatan ini menunjukkan dengan jelas penghayatan pemerintah dan masyarakat terhadap konsep kesederhanaan dalam politik dan pentadbiran dengan matlamat untuk menjamin kestabilan dan keutuhan sesebuah negara berbilang bangsa, agama dan budaya (Azhar Mad Aros, 2004).

Melalui huraian di atas, dapatlah dirumuskan bahawa konsep kesederhanaan atau wasatiyyah amat mudah dihayati dan direalisasikan dalam masyarakat di Malaysia. Kesederhanaan itu sendiri berpaksikan kepada cara hidup yang besederhana, seimbang, adil dan cemerlang. 


3.0 PENUTUP
Sebagai kesimpulan, sepanjang sejarah Malaysia daripada zaman Kerajaan Melayu klasik hingga kepada zaman selepas merdeka, Islam telah menjadi pemangkin utama yang membawa perubahan dalam masyarakat di Malaysia. Islam tidak sekadar anutan yang bersifat amalan ritual, malahan agama suci ini telah menjadi mekanisme yang diterapkan di dalam pemerintahan melalui dasar-dasar awam negara. Impak Islamisasi yang berterusan ke atas masyarakat Melayu telah membawa kepada transformasi sosial dan budaya berlandaskan kepada pembentukan identiti ‘Melayu yang Islam’. Bahkan Sejarah Islam telah mampu membentuk kesepaduan masyarakat di Malaysia. Sejarah Islam banyak memberikan perubahan dalam politik, ekonomi dan sosial dalam negara kita. Sememangnya sumbangan Sejarah Islam terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia jelas terpancar melalui huraian yang telah dikemukan di dalam penulisan seperti agama Islam sebagai agama Persekutuan, pengaruh sejarah Islam terhadap pemikiran masyarakat, Islam Hadhari, konsep kesederhanaan dan lain-lain lagi.



2 comments:

  1. hebat hebat . terima kasih krna ini membantu saya dlm membuat folio sejarah.

    ReplyDelete