1.0 PENGENALAN
Menurut Mohd Liki Ahmad (2003), tiap-tiap
tamadun utama dunia meninggalkan cebisan-cebisan sumbangan ke atas
tamadun-tamadun lain yang sezaman dengannya. Apabila sumbangan sesuatu tamadun
utama itu berjaya melepasi sempadan zamannya, serta dapat diterima sebagai
sumbangan yang bersifat sejagat oleh tamadun lain, maka aspresiasi ke atas
sumbangan itu menjadi lebih ironis dan bermakna. Begitu juga halnya dengan tamadun
Islam dalam mempegaruhi perkembangan di negara Malaysia sejak dari zaman
Kesultanan Melayu Melaka sehingga ke hari ini.
Terdapat pelbagai teori
yang dikaitkan dengan perkembangan ketamadunan Islam di Malaysia, antaranya
adalah teori kedatangan dari Arab, China dan India. Penguasaan pedagangan dari
Arab telah yang telah memonopoli perdagangan di rantau India, Mesir dan Asia
Tenggara bertanggungjawab ke atas penyebaran Islam di Alam Melayu dan Asia.
Rentetan daripada itu, berlakulah proses asimilasi, akulturasi, dan akomodasi di
Malaysia. Jadi, penulisan kali ini akan membincangkan mengenai
sumbangan-sumbangan Sejarah Islam terhadap pembangunan dan kecemerlangan
Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa
pengaruh Sejarah Islam telah membawa banyak perubahan dan kesan kepada corak
pemikiran dan sosio-budaya masyarakat di Malaysia. Misalnya agama Islam telah
membawa banyak ajaran dan tamadun yang lebih tinggi dan lengkap, lebih rasional
dan logik serta lebih mudah diterima oleh masyarakat Malaysia. Berpandukan
kepada konsep rasionalisme inilah, masyarakat Malaysia dengan sendiri menolak
kepercayaan tahyul dan fahaman animisme (Abdullah Ishak, 1992).
Penulisan ini akan
membincangkan beberapa sumbangan yang dibawa oleh Sejarah Islam seperti dari aspek
Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Islam menggalakkan budaya ilmu, Sejarah
Islam dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat, penerapan nilai-nilai Islam
dalam masyarakat, pembentukan masyarakat Madani, Islam Hadhari dan konsep
kesederhanaan (wasatiyyah). Sumbangan setiap Sejarah Islam ini akan disertakan
dengan contoh-contoh yang dapat dijadikan sebagai bukti.
2.0
SUMBANGAN SEJARAH ISLAM TERHADAP PEMBANGUNAN DAN KECEMERLANGAN MALAYSIA
2.1
Agama Islam Sebagai Agama Rasmi Persekutuan
Pertama, sumbangan Sejarah Islam
terhadap pembangunan dan kecemerlangan Malaysia ialah agama Islam sebagai agama
rasmi Persekutuan. Menurut Sazelin Arif et.al (2006), agama Islam memainkan
peranan penting dalam kelangsungan tamadun Melayu sebagai asas Tamadun
Malaysia. Sejak zaman sejarah sehingga kini, tamadun Melayu telah dimantapkan
oleh agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa agama Islam telah diisytiharkan
sebagai agama rasmi di Melaka pada suatu ketika dahulu. Sehubungan itu,
beberapa institusi Islam didirikan bagi membantu mengukuhkan sistem pentadbiran
berasaskan Islam. Contohnya, Jabatan Agama dan Syariah. Berdasarkan agama Islam
juga, Undang-Undang Laut dan Hukum Kanun Melaka dihasilkan. Beberapa jawatan
seperti kadi, imam dan sebagainya diwujudkan bagi melaksanakan
peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Agama Islam sebagai asas
pembinaan tamadun di Malaysia turut merangkumi semua aspek kehidupan. Islam
bukan setakat upacara ibadat pemujaan Tuhan di masjid dan tempat-tempat khusus
pada masa-masa tertentu sahaja. Sebaliknya Islam mengatur segala aspek
kehidupan manusia dan memandu manusia ke arah pembentukan individu muslim
melalui aspek-aspek seperti kepercayaan, peribadatan, pembentukan akhlak,
muamalat, muasayarat, munakahat dan jenayah (Hashim Musa, 2004). Dengan adanya
penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan masyarakat akan dapat membantu
kelangsungan tamadun Melayu yang bercorak tamadun Melayu-Islam.
Impaknya,
agama Islam telah diberikan kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan
Persekutuan berbanding agama-agama yang lain. Kedudukan Islam yang istimewa ini
tidak harus dipertikaikan memandangkan peruntukan mengenainya ditunjangi oleh
Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan itu pula adalah hasil kompromi dan
permuafakatan bersama pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat yang terdiri dari
pelbagai kaum dan agama semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya
pada tahun 1957. Kenyataan pengaruh Islam terhadap Malaysia jelas termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 1, Perkara 3:
“Agama
Islam adalah agama rasmi untuk Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
Oleh yang demikian,
tidaklah menghairankan mengapa Islam menjadi agama Pesekutuan. Sebagai Agama
Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat banyak keistimewaan
di negara ini berbanding agama-agama yang lain. Apa yang penting dalam hal ini
ialah, betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum
dan agama ini menghayati sejarah negara. Tujuannya, agar setiap peruntukan
penting dalam undang-undang di negara kita dapat difahami mengapa ia berlaku
sedemikian rupa. Pemahaman mendalam mengenai sejarah negara dan undang-undang
tidak syak lagi dapat mengikis rasa ketidakpuasan hati mana-mana pihak terhadap
suatu peruntukan undang-undang itu (Sazelin Arif, et. al, 2006).
Dengan peruntukan ini
membolehkan kerajaan termasuk kerajaan negeri melaksanakan pembangunan Islam
dalam pelbagai bidang kuasa dan melaksanakan pentadbiran hukum syariah Islam
tetapi dalam bidang kuasa yang terhad. Walaupun agama Islam adalah agama
Persekutuan, namun agama-agama lain bebas diamalkan oleh orang-orang bukan
Melayu dan bukan Islam dalam Persekutuan. Agama Islam berjaya menyatupadukan
masyarakat Melayu dan dengan kekuatan yang ada pada masyarakat Melayu, peranan
agama Islam amat penting dalam kelangsungan tamadun Melayu. Hasil daripada
penyebaran agama berlakulah juga penyebaran ilmu di negara kita, tidak kira
ilmu agama ataupun ilmu pendidikan.
2.2
Budaya Ilmu
Menurut
Samri Sainuddin (2003), masyarakat yang berilmu ialah masyarakat yang berjaya
membina negara ke arah negara yang lebih maju, canggih, dan sama taraf dengan
negara-negara maju yang lain memerlukan perwujudan satu masyarakat yang berilmu
tinggi dalam semua bidang. Dalam konteks ini jelas bahawa penekanan kepada
konsep berilmu ini adalah selaras dengan ajaran agama Islam yang mengkehendaki
manusia sentiasa berfikir dan belajar. Bagi Islam menuntut ilmu adalah satu
proses sepanjang hayat. Galakan Islam dalam menuntut ilmu bertujuan untuk
meninggikan darjat manusia. Oleh itu, kita akan melihat sumbangan sejarah Islam
terhadap pembangunan dan kecemerlangan dalam aspek budaya ilmu.
Budaya
ilmu bermaksud kewujudan suatu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat
melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan
keilmuan di setiap kesempatan, dan keadaan di mana segala tindakan manusia,
baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan
dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan. Dalam budaya ini, ilmu dianggap sebagai
suatu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap
peringkat (Wan Mohd Nor Wan Daud,1992). Selaras dengan kepentingannya, Islam
merupakan agama yang sangat mementingkan dan menitikberatkan umatnya agar
menuntut ilmu. Perkara ini amat jelas apabila al-Quran sendiri memainkan
peranan penting dalam pembinaan tamadun Islam agar umatnya terus menyelidiki
sesuatu perkara. Hal ini dibuktikan di dalam wahyu yang pertama diturunkan
kepada Nabi Muhammad dalam surah al-Alaq ayat 1-5 (al-Alaq 96: 1-5) yang
bermaksud:
“Bacalah (Wahai
Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia
apa yang diketahuinya”.
Menurut
Muhammad Naquib al-Attas (1972), kedatangan Islam telah berjaya memberi
kesedaran kepada masyarakat di Alam Melayu ke arah bersifat ilmiah dan
saintifik serta dapat meninggalkan era sebelumnya yang mengutamakan sesuatu
yang bersifat tahyul dan khayalan untuk menuju ke sesuatu yang berbentuk
realistik. Setelah adanya pengaruh Islam, kegiatan agama, ilmu dan pendidikan
Islam diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh para ulama dan para pendakwah. Pada
ketika itu, seluruh masyarakat termasuk golongan istana serta rakyat jelata
didedahkan dengan ilmu pengetahuan Islam. Jadi secara langsung atau tidak
langsung telah mengubah pandangan dan tanggapan masyarakat terhadap pegangan
agama, kebudayaan dan ilmu pengetahuan.
Contohnya, Islam telah
membawa transformasi dalam sistem pendidikan. Sistem pendidikan yang bermula di
istana mula beralih kepada institusi pendidikan islam seperti pondok dan
madrasah. Tradisi keilmuan yang ditekankan oleh Islam mengembangkan pula
tradisi pendidikan dan pengajaran secara lebih tersusun. Dorongan belajar
bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan kitab-kitab. Golongan pemerintah
dan pembesar-pembesar berperanan penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan.
Impaknya, lahirlah para cendiakawan dan ulama-ulama Melayu yang menjadi
pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli ulama. Antara tokoh-tokoh Melayu
yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak dan
ramai lagi (Hashim Musa, 2004). Tokoh-tokoh ini telah banyak menyumbang ke arah
perkembangan ilmu pengetahuan di Malaysia.
Selain itu, turut wujud
juga keseimbangan antara ilmu agama dan dunia dalam kurikulum pendidikan dalam
Islam. Rentetan itu, wujudlah dasar-dasar pendidikan dan institusi perkembangan
ilmu di Malaysia sehingga kini. Contohnya, di Malaysia sejarah pendidikannya
melalui proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan negara bangsa
sejak merdeka lagi. Evolusi pendidikan telah melalui lima fasa iaitu Zaman Pra
Merdeka (sebelum 1957), Zaman Pasca Merdeka 91957-1970), Zaman Dasar Ekonomi
Baru 91971-1990), Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar
Wawasan 2020 (2001-2010).
Pengenalan
kurikulum seperti Pendidikan Islam kepada murid Islam dan Pendidikan Moral
kepada bukan Islam turut diperkenalkan di sekolah. Bukan itu sahaja, wujud
sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan dan
memperkenalkan kurikulum Islam. Contohnya, wujud sekolah agama yang menggalakkan
pelajar-pelajar yang ingin mendalami mata pelajaran ilmu agama. Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Islam Antarabangsa sendiri
telah menjadi pusat perkembangan ilmu agama kepada mahasiswa dan mahasiswi dari
dalam dan luar negara.
Kesimpulannya, Islam
sangat mementingkan budaya ilmu. Banyak persoalan dapat dibincangkan dalam
perkara-perkara yang mempunyai hubung kait dengan ilmu. Antara yang penting
ialah melalui ilmu pengetahuan, manusia memperoleh kesejahteraan sama ada di dunia
mahupun di akhirat. Melalui ilmu manusia menjadi khalifah Allah di dunia dengan
baik dapat mentadbir kehidupan sehariannya dengan lebih tersusun dan sempurna.
Perkara-perkara yang tidak baik menurut agama dan akal, dapat dihindari apabila
manusia boleh menilainya dengan ilmu yang ada dalam dirinya. Justeru itu,
menuntut dan mempelajari ilmu merupakan kemestian di dalam diri setiap individu
bergelar manusia.
2.3 Pemikiran Masyarakat
Bukan
itu sahaja, sejarah Islam turut membawa perubahan yang besar dan ketara dalam
mengubah kepercayaan dan corak pemikiran masyarakat di Malaysia. Pengaruh Islam
telah membawa unsur-unsur yang rasional, lebih intelektual dan bersifat logik. Kita
diajar supaya mempercayai Tuhan iaitu Allah Yang Maha Esa. Secara logiknya, dunia
ini tidak boleh dipimpin dan diperintah oleh banyak Tuhan. Jadi, melalui
pegangan agama dan al-Quran telah menetapkan agar mempercayai satu Tuhan
sahaja. Sekiranya dunia ini dipimpin oleh banyak tuhan sudah pastilah dunia
akan menjadi huru-hara dan berlaku percanggahan pendapat dan perintah dalam
kalangan Tuhan yang banyak itu. Oleh yang demikian, memang logik dan benarlah
bahawa Tuhan hanya satu iaitu Allah S.W.T. Yang Maha Berkuasa.
Pandangan serta falsafah
pemikiran masyarakat pada suatu ketika dahulu turut berubah setelah mereka
menerima ajaran Islam. Sebagai contoh, Islam menyuruh umatnya supaya berusaha
bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal agar disenangi dan dihormati oleh
semua orang. Jika gagal sekalipun, Islam menyuruh umatnya agar tabah dan sabar
serta menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan redha dengan
ketentuan-Nya, bukannya berputus asa dan membunuh diri. Islam
juga mengarahkan manusia supaya hidup secara aman dan harmoni serta mewujudkan
perpaduan. Masyarakat dibentuk dengan sifat dan rasa tanggungjawab serta saling
bantu-membantu antara satu sama lain, sifat atau akhlak yang mulia amat
ditekankan oleh Islam.
Mereka juga ditiupkan dengan semangat kerjasama dan perpaduan
dengan menganggap bahawa seluruh umat Islam adalah satu anggota. Akibat
daripada semangat tersebut, muncul konsepsi bahawa seluruh umat Islam di dunia
ini adalah bersaudara. Melalui sikap ini juga peristiwa hitam seperti 13 Mei
1963 dapat dielakkan dan dihindari sekali lagi. Dengan cara itu terbentuklah masyarakat
yang bersatu padu dan mempunyai hubungan yang erat, walaupun masyarakat
tersebut terdiri dari pelbagai bangsa dan keturunan. Secara tidak langsung,
apabila hubungan masyarakat sudah kukuh tali persaudaraannya, tentunya negara
mereka menjadi kuat dan stabil serta dapat mempertahankan diri daripada
gangguan dan ancaman anasir-anasir luar. Jelaslah bahawa ajaran al-Quran
memainkan peranan penting dalam pembentukan sikap masyarakat di Malaysia.
2.4 Penerapan
Nilai-nilai Islam
Pembangunan Islam dalam tahun 1970-an
juga dikaitkan dengan kembalinya Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad (kini
bergelar Tun) ke arus perdana politik Malaysia. Di bawah kepimpinan Tun,
kerajaan Malaysia dilihat banyak menyokong dasar-dasar berkaitan pembangunan
Islam. Setelah Tun Dr. Mahathir kembali aktif dalam politik, beliau telah
dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1974. Dalam tahun 1976, beliau
dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan lima tahun kemudian sebagai
Perdana Menteri oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada ketika itu.
Kesungguhan Tun Dr.
Mahathir terhadap pelaksanaan Islam menyerlah setelah beliau menjadi Perdana
Menteri. Dalam tahun pertama pelantikannya, iaitu pada tahun 1981, kerajaannya
telah mengumumkan penganjuran seminar besar bertajuk “The Concept of
Development in Islam”, yang merupakan saranan-saranan yang akan
dilaksanakan oleh kerajaan yang menyentuh aspek berkaitan undang-undang,
ekonomi, pendidikan dan sains serta teknologi. Petanda awal yang menunjukkan
minat pentadbiran Mahathir terhadap Islam secara rasminya telah diisytiharkan
pada tahun 1984 ke arah ‘mengislamkan’ jentera kerajaan (Hussin Mutalib, 1993).
Bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan dasar tersebut, Mahathir
menyatakannya seperti berikut:
“Apa
yang kita maksudkan sebagai Islamisasi ialah penyerapan nilai-nilai dalam
kerajaan. Penyerapan tersebut tidak sama seperti pelaksanaan undang-undang
Islam dalam negara. Undang-undang Islam adalah untuk orang Islam dan bermaksud
untuk undang-undang peribadi mereka. Akan tetapi undang-undang bangsa, walaupun
tidak berasaskan Islam boleh digunakan selagi ia tidak bercanggah dengan
prinsip Islam”.
Walaupun
undang-undang Islam tidak ditujukan kepada golongan bukan Islam, namun kerajaan
di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir telah pun memperkukuhkan program-program
yang berkaitan Islam dan melaksanakan dasar-dasar lain yang sehubungan
dengannya. Ini termasuklah pengisytiharan untuk mengkaji semula sistem
undang-undang negara agar sistem ini selari dengan undang-undang Islam,
menjadikan Ilmu Agama sebagai mata pelajaran dalam peperiksaan, meningkatkan
program-program berkaitan Islam untuk siaran radio dan televisyen Malaysia.
Selain
usaha yang bersifat simbolik dan berlandaskan kepada keputusan yang berbentuk
pentadbiran, Mahathir juga turut memperkenalkan dasar yang lebih jelas lagi
yang melibatkan doktrin, pendidikan dan ekonomi. Contohnya, dalam tahun 1980,
sebaik-baik sahaja menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau telah membentangkan
asas-asas yang kemudiannya menjadi rukun dalam strategi rasmi pembangunan
Malaysia iaitu, pembangunan ekonomi tidak akan menjadi kenyataan tanpa
pembangunan kerohanian dalam Dasar Ekonomi Baru.
Pada
tahun 1982, kerajaan juga memperkenalkan satu lagi program untuk memupuk
nilai-nilai Islam dalam pentadbiran awam. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam
diperkenalkan untuk memberi penekanan tentang kepentingan dedikasi,
akauntabiliti, keboleh percayaan dan rasa tanggungjawab dalam pentadbiran
perkhidmatan awam dan politik kerajaan. Pada masa yang sama konsep masyarakat
madani yang dipopularkan oleh Dato’ Seri Anwar, menjadi wacana akademik dalam
usaha membentuk masyarakat sivil yang bertanggungjawab bagi mempertingkat
akauntabiliti kerajaan berdasarkan kerangka (framework) etika dan
nilai-nilai Islam (Shahirah Mahmood, 2006).
2.5 Masyarakat Madani
Menurut
Noresah Baharom et. al (2010), masyarakat madani ialah masyarakat yang maju
dari segi pemikiran, kerohanian dn kebendaan. Slogan ‘Masyarakat Madani’ muncul
apabila diucapkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selaku Timbalan Perdana
Menteri Malaysia ketika itu di Syarahan Festival Istqlal, di Jakarta pada 26
September 1995. Ketika itulah kalimah masyarakat Madani bermula dan susulan
daripada itu berlangsung satu seminar peringkat kebangsaan di Universiti
Kebangsaan Malaysia bagi membincangkan idea menubuhkan masyarakat Madani di
Malaysia. Menurut Naquib Al-Attas (1972), masyarakat Madani didirikan atas
konsep din iaitu agama. Kalimah ‘Madani’ daripada istilah ‘din’ dan di situlah
agama menjadi teras dalam menjalani kehidupan. Amanah, jujur, ikhlas, taat
perintah Tuhan dan sebagainya yang berdiri atas agama menjadi pekerjaan utama.
Malah masyarakat Madani adalah jelmaan ‘masyarakat Madinah’ ketika zaman Nabi
Muhammad s.a.w.
Melalui
pengenalan masyarakat Madani di Malaysia, ianya merupakan wadah untuk
membudayakan masyarakat Malaysia. Kurikulum dalam sistem pendidikan Malaysia
sama ada secara formal atau tidak formal mampu menyusun dan membentuk
masyarakat madani. Dalam merancang pelaksanaan konsep ini, beberapa perkara
mesti diberi perhatian seperti sistem sosial haruslah cekap dan saksama serta
pelaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang dan bukan nafsu atau
kepentingan individu. Masyarakat juga harus mengamalkan akhlak terpuji dan
boleh diteladani. Usaha menghasilkan masyarakat madani akan dapat melahirkan
warganegara yang berpegang kepada teras keimanan dan ketuhanan, mempunyai
ketahanan diri, memiliki identiti bangsa Malaysia, tahap kepimpinan yang
dinamik, berpandangan jauh, kreatif dan inovatif, citra diri yang tinggi,
berdisplin dan amalan hidup yang cemerlang.
2.6 Islam Hadhari
Setelah
adanya masyarakat Madani, muncul pula Islam Hadahari yang turut membawa
perkembangan dalam pembangunan dan kecemerlangan di Malaysia. Menurut Ratna Roshida
dan Muhammad Hasrul (2010), Islam Hadhari telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah
Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia. Islam Hadhari yang diperkenalkan
semasa kempen pilihan raya tahun 2004 mempopularkan ‘idea progresif Islam’ dan
menjelaskan lagi pendirian pihak pemerintah tentang dasar-dasar berhubung
pembangunan Islam. Walaupun Islam Hadhari pada peringkat permulaannya menerima
pelbagai reaksi dan tafsiran sama ada di dalam mahupun di peringkat global,
namun begitu, Islam Hadhari telah pun menjadi satu dasar kerajaan di peringkat
nasional yang dilaksanakan dalam pentadbiran beliau.
Islam
Hadhari merupakan satu pendekatan pembangunan manusia yang menyeluruh
berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam. Pembangunan tamadun mestilah
bermula dengan pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Untuk membangunkan
manusia demi membentuk sebuah kehidupan yang produktif, al-Quran telah memberi
panduan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib
sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Justeru
apa yang menjadi hasrat mantan Perdana Menteri dengan memperkenalkan konsep
Islam ini ialah untuk memudahkan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam
memahami dan seterusnya mempraktikkan Islam secara menyeluruh sehingga dapat
menghasilkan kemajuan, beracuankan prinsip dan ajaran-ajaran Islam yang
mencakupi tuntutan dunia, akhirat juga jasmani dan rohani.
Jadi,
dalam usaha menuju ke arah pembangunan dan kecemerlangan di Malaysia,
peningkatan mutu kehidupan adalah salah satu aspek yang penting. Peningkatan
ini boleh dihasilkan melalui sistem pembinaan insan iaitu akhlak, penguasaan
ilmu dan pembangunan fizikal yang banyak dihasilkan melalui penguasaan
teknologi. Sehubungan dengan itu, agenda-agenda pembangunan tersebut perlulah
ada bersamanya kecekapan, kemahiran dan kesenian. Ringkasnya agenda pembangunan
ini boleh disimpulkan dalam 10 prinsip yang mendasari Islam Hadhari ini iaitu
keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, kerajaan yang adil dan beramanah, rakyat
berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, kelima iaitu pembangunan ekonomi
seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan
minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemuliharaan alam semula jadi serta
kekuatan pertahanan. (Sidek Fadzil, 2004).
Sebagai
contoh, dalam prinsip yang ketujuh iaitu pembelaan hak kumpulan minoriti dan
wanita, jalinan penjagaan hak dalam Islam Hadhari turut didokong menerusi
undang-undang dan perlembagaan negara. Al-Quran telah merakamkan tentang
penjagaan hak di atas menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat (49)
ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku (puak) supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia
kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu (bukan yang
lebih keturunan atau bangsa). Sesungguhnya Allah amat Mengetahui lagi amat
mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Kesan dari ayat di atas
juga menyebabkan jaminan pemerintah terlaksana ke atas golongan minoriti
termasuk wanita juga. Kedudukan wanita disanjung dan diberi hak yang sewajarnya.
Perkara ini dapat dilihat di dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan
hak asasi. (Perlembagaan Persekutuan, 2000: Bahagian Kedua, perkara 8). Wanita
dalam Islam Hadhari amat menggalakkan pendidikan berterusan sesuai dengan
slogan ‘Pendidikan Sepanjang hayat’. Wanita tidak diketepikan dari arus
pembangunan malah dijadikan daya saing yang kuat untuk kaum lelaki berusaha
gigih dan bersifat inovatif dalam arus perdana. Jelaslah bahawa kemampuan
tersebut menjadi mercu tanda pembangunan
personaliti.
Seterusnya, kita melihat
pula sumbangan Sejarah Islam dalam prinsip ke-9 iaitu pemuliharaan alam
semulajadi. Dalam memupuk pemuliharaan alam semulajadi, Islam menekankan peri
pentingnya masyarakat memahami Huquq al’-Alam (Hak-hak Alam) di mana perlakuan
dan perbuatan yang menyebelahi hak di atas adalah dilarang sama sekali. Oleh
itu, kesedaran dalam kalangan manusia dapat membantu usaha-usaha pihak
kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan menangani kelemahan
dan pemantauan terhadap golongan yang kurang sikap ketamadunnya. Dalam menjamin
kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat, Malaysia telah berusaha dan
menandatangani dua deklarasi yang melibatkan alam sekitar iaitu Deklarasi Rio
De Janeirio (1993) dan Protokol Kyoto (1997). Malaysia melalui ASEAN telah
berusaha gigih memastikan negara-negara ASEAN bebas dari memiliki dan
menjalankan aktiviti sejanta nuklear. Malaysia turut mengadakan Deklarasi
Langkawi bagi menjamin keutuhan dan pembangunan selaras dengan kehendak alam.
Selain itu, dalam prinsip
kekuatan pertahanan, Islam Hadhari turut memfokuskan pertahanan secara
konvensional. Jika ditinjau kekuatan surah al-Fiil, jelas mendesak kekuatan
pertahanan perlu dititik-beratkan. Atas dasar ini, Islam Hadhari turut memberi
perhatian utama dengan melengkapkan serta menguasai kelengkapan pertahanan ke
tahap yang diperlukan. Contohnya, usaha kerajaan melancarkan Satelit Asia Timur
Malaysia iaitu Measat-1 dan Measat-2 adalah memenuhi sebahagian keperluan
pertahanan, selain usaha jangka masa panjang negara dengan menghantar rakyat
Malaysia pertama iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menyertai misi aeroangkasa
pada tahun 2007 (Hassan Mohd Noor, 2006). Jelaslah bahawa kejayaan Malaysia
telah membuka mata negara-negara Islam lain untuk berusaha dan berdaya maju
bagi mempertahankan negara dan umat Islam dari sebarang bentuk penindasan dan
keganasan.
Tuntasnya, gagasan Islam
Hadhari yang dikemukakan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah satu medan untuk umat Islam bagi membentuk
semula pembangunan dan kecemerlangan Islam. Perkara ini juga merupakan satu
peluang bagi membuka minda dan lembaran baru bagi masyarakat bukan Islam supaya
dapat meneliti dan memahami nilai keislaman untuk dijadikan sandaran dalam
mengerakkan inisiatif memakmurkan negara Malaysia.
2.7 Konsep Kesederhanaan
Konsep
kesederhanaan merupakan satu budaya yang telah diterapkan oleh Nabi Muhammad.
Menurut Noor Hisham Md Nawi (2010), kesederhanaan tidak hanya ditentukan oleh
wasilah atau bentuk luaran seperti kuantiti dan bentuk harta bahkan hakikatnya
banyak ditentukan oleh faktor niat dan tujuan. Meskipun secara umumnya
kesederhanaan itu mungkin berbeza menurut tahap keilmuan, kerohanian, bebanan
tanggungjawab yang dipikul dan kesanggupan serta keperluan konteks yang
berbeza-beza, namun intipati maknanya tetap sama dan utuh. Budaya sederhana
yang dianjurkan Islam cukup indah dan mendaulatkan prinsip keadilan serta
kemanusiaan kepada setiap insan dalam membina generasi Islam yang begitu mantap
dan berkualiti. Salah satu pengertian kesederhanaan turut boleh berlaku dalam
pelbagai dimensi seperti kesederhanaan dalam berusaha, kesederhanaan dalam
pencapaian, kesederhaan dalam menuntut ilmu, kesederhanaan dalam berfikir dan
kesederhanaan dalam ketaatan kepada Tuhan.
Seperti
kata ulama, kesederhanaan bukan bererti pentengahan semata-mata tetapi adalah
suatu kelebihan dan keutamaan kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya. Memetik
kata-kata alim ulama, kebaikan terletak di antara tengah-tengah dua keburukan. Hal
ini bermakna memilih untuk bersederhana adalah pilihan yang membawa kepada
kebaikan manakala keberanian adalah suatu kelebihan. Mengambil petikan ayat
suci al-Quran yang bermaksud:
“Dan
orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan
tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang
demikian. (Al- Furqan: 67).
Jelaslah
ayat ini mengajak umat Islam dan bukan Islam supaya memilih kehidupan yang
sederhana sebagai satu pilihan terbaik, tidak kedekut dan tidak boros atau
berlebihan dalam melakukan sesuatu perkara sehingga perbuatan mereka dikutuk oleh
Allah. Ajaran Islam mementingkan kehidupan pertengahan dan seimbang antara
jasmani dan rohani. Segala keperluan kehidupan di dunia yang perlu dituntut
akan diperolehi secara fardhu kifayah demi membantu terbentuknya insan Muslim,
Mukmin dan Muhsin. Setiap individu muslim perlu mengimbangi keperluan dunia dan
akhirat dalam mencari keredhaan Allah SWT.
Konsep
kesederhaan atau wasatiyyah secara sedar dan tidak sedar sebenarnya harus
diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Menurut Zulkiflee Haron (2005), orang
Islam digalakkan besederhana dalam soal-soal kemudahan seperti pakaian, tempat
tinggal dan kenderaan. Bagi wanita pula, sekiranya barang kemas yang dipakai
berlebihan ia akan dikenakan zakat. Majlis perkahwinan juga harus diadakan
dengan sederhana. Bahkan Nabi Muhammad s.w.a juga pernah menasihati agar
diadakan mas kahwin yang paling sederhana. Islam telah menggariskan dasar yang
cukup jelas iaitu jangan melakukan pembaziran. Pembaziran memusnahkan perkara
yang berfaedah atau menggunakan lebih daripada keperluan.
Perlembagaan
Persekutuan yang digubal menjelang Kemerdekaan Tanah Melayu jelas mengandungi
nilai-nilai kesederhanaan seperti berlaku adil kepada semua kaum, seimbang dan
sederhana dalam amalan dan tindakan mereka. Apa yang penting ialah perlembagaan
ini yang masih dipakai sehingga kini masih mengekalkan peruntukan seperti
kewarganegaraan, hak istimewa kaum Melayu dan orang bukan Melayu, agama dan bahasa,
serta hak asasi manusia. Oleh itu, persetujuan dan pesefahaman antara penduduk
berbilang kaum di Malaysia dikenali dengan kontrak sosial yang kemudiannya
diterima pakai oleh masyarakat. Pendekatan wasatiyyah ini kemudiannya terus
menjadi amalan kerajaan semenjak merdeka sehinggalah kini.
Bukan
itu sahaja, di bawah kepimpinan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, beliau telah
memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Perdana Menteri telah menyarankan pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan,
pertengahan, berimbang, adil dan cemerlang. Perkara yang menarik dalam konsep
ini adalah ianya selaras dan tidak bercanggah dengan dasar-dasar sebelumnya
seperti dasar muhibbah dan meninggikan syiar Islam di zaman Tunku Abdul Rahman
Rahman, Dasar Pembangunan Tun Abdul Razak, Dasar Perpaduan Tun Hussein Onn,
Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Tun Dr. Mahathir, Dasar Pendekatan Islam
Hadhari Tun Abdullah Ahmad Badawi. Konsep wassatiyah juga sesuai dan selaras
dengan perlembagaan yang mencatatkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan
menjamin kebebasan beragama kepada penganut-penganut agama lain.
Sebagai
contoh, apabila melihat kepada populasi masyarakat Malaysia, kita mendapati 60%
penduduk Malaysia beragama Islam, manakala 40% lagi menganut pelbagai agama
seperti Buddha, Tao, Konfusuionisme, Kristian, Hindu, Sikh dan lain-lain. Sebenarnya
penghayatan nilai-nilai kesederhanaan dalam pentadbiran Malaysia bermula secara
tidak langsung sejak sekian lama yang bertujuan untuk menghayati perpaduan dan
mewujudkan keharmonian. Nilai kesederhanaan dalam politik Tanah Melayu
menyaksikan hak kerakyatan yang asalnya adalah milik mutlak orang Melayu turut
diberi kepada kaum pendatang yang dibawa oleh penjajah asing. Dasar kerakyatan
ini menunjukkan dengan jelas penghayatan pemerintah dan masyarakat terhadap
konsep kesederhanaan dalam politik dan pentadbiran dengan matlamat untuk
menjamin kestabilan dan keutuhan sesebuah negara berbilang bangsa, agama dan
budaya (Azhar Mad Aros, 2004).
Melalui
huraian di atas, dapatlah dirumuskan bahawa konsep kesederhanaan atau
wasatiyyah amat mudah dihayati dan direalisasikan dalam masyarakat di Malaysia.
Kesederhanaan itu sendiri berpaksikan kepada cara hidup yang besederhana,
seimbang, adil dan cemerlang.
3.0 PENUTUP
Sebagai kesimpulan, sepanjang sejarah
Malaysia daripada zaman Kerajaan Melayu klasik hingga kepada zaman selepas
merdeka, Islam telah menjadi pemangkin utama yang membawa perubahan dalam
masyarakat di Malaysia. Islam tidak sekadar anutan yang bersifat amalan ritual,
malahan agama suci ini telah menjadi mekanisme yang diterapkan di dalam
pemerintahan melalui dasar-dasar awam negara. Impak Islamisasi yang berterusan
ke atas masyarakat Melayu telah membawa kepada transformasi sosial dan budaya
berlandaskan kepada pembentukan identiti ‘Melayu yang Islam’. Bahkan Sejarah
Islam telah mampu membentuk kesepaduan masyarakat di Malaysia. Sejarah Islam
banyak memberikan perubahan dalam politik, ekonomi dan sosial dalam negara
kita. Sememangnya sumbangan Sejarah Islam terhadap pembangunan dan
kecemerlangan Malaysia jelas terpancar melalui huraian yang telah dikemukan di
dalam penulisan seperti agama Islam sebagai agama Persekutuan, pengaruh sejarah
Islam terhadap pemikiran masyarakat, Islam Hadhari, konsep kesederhanaan dan
lain-lain lagi.