1.0 JENIS-JENIS
SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH
Terdapat beberapa jenis sumber
pengajaran dan pembelajaran yang boleh membantu guru dalam proses pengajaran.
Kita dapat mengklasifikasikan jenis sumber tersebut kepada tiga iaitu bahan
bercetak, bahan elektronik dan bahan maujud. Semua jenis sumber ini mempunyai
ciri-ciri yang berbeza tetapi bertujuan mencapai hasil yang sama iaitu untuk
memastikan semua murid memahami isi pelajaran dan mencapai objektif pembelajaran.
1.1 Bahan
Bercetak
Bahan bercetak boleh didefinisikan
sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Bahan ini boleh
disentuh dan dibaca secara terus. Ciri penting pada bahan bercetak ialah bahan
tersebut mestilah dihasilkan melalui cetakan dan bukan hasil daripada tulisan
tangan mana-mana individu. Kebiasaannya, bahan bercetak akan disimpan dalam rak
yang terdapat di perpustakaan mahupun di arkib.
Menurut Azman Larut et.al (2005),
bahan bercetak boleh terbahagi kepada buku dan bukan buku. Antara contoh bahan-bahan
bercetak bagi buku ialah buku fiksyen yang terdiri kepada buku cerita bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris, buku bukan fiksyen pula terdiri kepada buku Sejarah
dan Geografi manakala rujukan pula terdiri kepada kamus, ensiklopedia, atlas
dan buku teks (Rujuk Lampiran 1 untuk melihat contoh bahan bercetak). Kemudiaan,
bagi bahan bercetak bukan buku ialah majalah, surat khabar dan risalah.
Dalam konteks pendidikan, bahan
bercetak ini telah digunakan secara meluas dalam sumber pengajaran dan pembelajaran.
Guru-guru dan murid sendiri menggunakan buku teks sebagai rujukan utama mereka.
Hal ini berikutan dengan kriteria yang terdapat pada bahan bercetak itu
sendiri. Kos untuk membeli bahan bercetak ini murah dan mudah didapati
dimana-mana. Selain itu, bahan bercetak turut senang dirujuk pada bila-bila
masa sahaja.
Kendatipun begitu, terdapat beberapa
kekurangan yang ada pada bahan bercetak ini. Kebiasaannya bahan bercetak selalu
didapati dalam bentuk buku yang tebal contohnya buku teks. Kekurangan ini
menyukarkan bahan bercetak tersebut untuk dibawa kerana berat selain tidak
boleh disunting. Kadangkala peredaran zaman turut menyebabkan isi kandungan
buku tersebut tidak terkini dan ketinggalan. Hal ini kerana buku selalunya
disunting terlebih dahulu kemudian dicetak dan seterusnya diedar yang mana
mengambil masa lama untuk mengikut peredaran zaman. Seiring dengan perubahan
itu, maka wujudlah penggunaan bahan elektronik bagi memperkembangkan lagi kotak
pemikiran anak murid.
1.2 Bahan
Elektronik
Menurut Noriati et. al (2009), bahan
elektronik merupakan salah satu sumber pengajaran dan pembelajaran yang sering
kali menarik perhatian murid. Bahan elektronik adalah teknologi dunia terkini
dan dapat memberi banyak manfaat jika digunakan secara betul. Penggunaan sumber
ini perlulah dikendalikan oleh guru yang berkemahiran menggunakan bahan
elektronik tersebut secara terancang dan bersesuaian. Dengan itu, proses
pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan secara cekap dan berkesan.
Antara contoh-contoh bahan elektronik
ialah komputer, laptop, projektor LCD, radio kaset, OHP, televisyen, mikro
filem dan lain-lain lagi.( Rujuk Lampiran 2 untuk melihat contoh bahan
elektronik). Kebanyakan guru kerap menggunakan bahan ini kerana ianya banyak
membantu mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja,
murid-murid juga mudah tertarik dengan grafik yang ada pada bahan ini dan
sekaligus memudahkan mereka mengikuti pelajaran yang ingin disampaikan.
Penggunaan bahan elektronik ini
efektif kerana guru boleh membuat pembetulan sekiranya berlaku kesilapan pada
slaid yang ingin disampaikan. Menurut Norasiah et.al (2009), bahkan seseorang
guru tersebut turut boleh memasukkan pelbagai grafik seperti video dan gambar
dalam persembahan power point mereka.
Secara tidak langsung, murid akan fokus terhadap pembelajaran guru tadi. Rentetan
daripada itu, amat penting untuk guru tersebut tersebut terus memantau
pergerakan murid-murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Namun begitu, terdapat juga kelemahan
yang ada pada bahan bercetak ini. Khususnya untuk kawasan pedalaman, tiadanya
bekalan elektrik menyebabkan bahan ini sukar untuk berfungsi. Kadangkala
apabila bekalan elektrik terputus, guru harus sentiasa bersedia untuk
menggunakan kaedah kedua iaitu secara manual. Kemahiran yang tinggi juga amat
diperlukan untuk mengendalikan bahan elektronik ini. Sekiranya terdapat guru yang
kurang mahir teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat sukar untuk mereka
menghasilkan persembahan grafik yang mampu menarik minat murid.
1.3 Bahan
Maujud
Menurut Sufean Hussin et al (2005),
bahan maujud merupakan bahan konkrit
atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Manakala Mohktar
Affandi Amran, Poh Swee Hiang dan Tajuddin Hassan (1996), menyatakan bahan
maujud adalah bahan yang kelihatan
nyata dan benar. Penggunaan bahan maujud merupakan salah satu kaedah
yang baik untuk menarik minat pelajar kerana bahan maujud ini memang wujud dan
jelas serta mempunyai sifat-sifat yang boleh dikenalpasti oleh deria-deria kita
iaitu mata, telinga, lidah, hidung dan kulit.
Terdapat tiga jenis bahan maujud iaitu
realia, diorama dan model (Rujuk Lampiran 3 untuk melihat contoh bahan maujud).
Realia merupakan bahan sebenar yang mudah didapati dan selamat digunakan. Realia
digunakan untuk membantu pengajaran pendedahan atau ekpositori. Contoh relia
ialah batuan, tumbuhan, bahan awet basah dan kering. Diorama pula sistem
pameran yang menggabungkan latar depan tiga dimensi dengan latar belakang dua
dimensi. Kombinasi latar depan dan belakang dapat menghasilkan kesan realistik
yang tinggi. Diorama digunakan untuk mengajar sejarah, agama dan drama. Jenis
bahan maujud iaitu model terdiri daripada model keratan, model pepejal dan
model keratan.
Kelebihan yang terdapat pada bahan
maujud ini adalah penglibatan murid secara langsung dengan penggunaan bahan
maujud ini menjadikan mereka aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Murid turut dapat membuat interpretasi sejarah berdasarkan bahan maujud
tersebut. Ciri bahan maujud tersebut yang bersifat realistik turut menggera
murid untuk meneroka idea yang kompleks dan abstrak selaras dengan asas Kemahiran
Pemikiran Sejarah (KPS) yang harus diaplikasikan oleh murid.
Walaupun
begitu, setiap sumber pengajaran dan pembelajaran ada kelemahannya tidak
terkecuali sumber bahan maujud. Para guru sukar untuk memperolehi bahan untuk
menghasilkan bahan maujud tadi. Kesukaran ini sering berlaku kepada guru yang
berada di pedalaman. Mereka terpaksa keluar ke bandar bagi membeli bahan untuk
menghasilkan bahan maujud ini. Terdapat juga sesetengah bahan maujud yang
mempunyai kos yang tinggi. Reka bentuk bahan maujud yang besar turut
menyukarkan guru untuk membawa bahan tersebut.
2.0 KEPENTINGAN
MENGGUNAKAN SUMBER PENGARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH
Di dalam merancang pengajaran dan
pembelajaran, tidak lengkap sekiranya seseorang guru Sejarah tersebut hanya
menggunakan kaedah “chalk and talk” sahaja. Kaedah tersebut cuma mendatangkan
impak yang negatif sehingga murid-murid semakin tidak meminati subjek Sejarah
yang selalunya dianggap membosankan. Oleh itu, kita akan melihat signifikan penggunaan
sumber bahan bercetak, bahan elektronik dan bahan maujud dalam pengaran dan
pembelajaran Sejarah.
2.1 Meransang
Pemikiran
Kepentingan penggunaan sumber bahan
pengajaran dan pembelajaran yang pertama adalah meransang pemikiran murid.
Menurut Sufean Hussin (2005), penggunaan sumber bahan pengajaran dan
pembelajaran amat perlu kerana melalui bahan tersebut, pembelajaran murid akan
jauh lebih bermakna berbanding dengan proses pembelajaran yang berlangsung
tanpa sumber pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana penggunaan sumber akan
meransang setiap aspek perkembangan murid yang bukan sahaja merangkumi kognitif
murid malah bahasa, komunikasi dan fizikal murid.
Contohnya, seorang guru Sejarah boleh mengajar tajuk berkaitan dengan Zaman
Air Batu dengan membuat diorama orang zaman batu sendiri. Penggunaan sumber
bahan maujud seperti bahan bantu mengajar (BBM) akan dapat membantu mereka
membuat persepsi berdasarkan apa yang telah dilihat secara realiti dan bukan satu persepsi atas dasar andaian sahaja.
Bahkan murid turut akan lebih tertarik untuk mempelajari tajuk tersebut sekiranya
dia dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek yang dipelajari tadi.
Jelaslah bahawa bahan ransangan seperti sumber maujud iaitu diorama ini
tadi akan membuat murid dapat memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam
lagi. Mereka dapat mengaplikasikan kemahiran pembelajaran sejarah iaitu
kemahiran kreatif dan inovatif tentang segala aspek kehidupan manusia silam dan
kini (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013). Hasilnya, mereka akan dapat mengeluarkan idea yang bernas
dan bermakna.
2.2 Menginterpretasi
Maklumat Daripada Peristiwa Sejarah
Signifikan penggunaan sumber
pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya ialah murid dapat menginterpretasi
maklumat daripada peristiwa Sejarah. Menurut Noresah (2005), interpretasi
merujuk kepada tafsiran. Jadi, interpretasi disini adalah menafsir atau
menganalisis maklumat daripada sumber sejarah. Tafsiran banyak membantu murid
dalam meneroka bukti dan membentuk perasaan empati mereka terhadap sesuatu
peristiwa bersejarah.
Guru Sejarah boleh
menggunakan sumber bahan elektronik seperti tayangan video semasa mengajar
tajuk berkaitan dengan Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka. Tayangan
peristiwa dan pemandangan yang sebenar akan membolehkan murid-murid tahu
tentang peristiwa-peristiwa tersebut dengan lebih dekat dan jelas. Cabang fasa
kemahiran kreatif dan inovatif iaitu fasa imaginasi turut dapat dicapai apabila
murid berfikir di luar konteks buku
teks. Ini kerana mereka mendapat maklumat yang lebih lengkap lagi melalui
tayangan video tadi berbanding penggunaan bahan bercetak iaitu buku teks
mengenai pengembaraan Parameswara dari Palembang, Temasik, Muar dan akhirnya
Melaka.
Kemahiran Pemikiran
Sejarah (KPS) murid mengenai elemen asas sejarah iaitu tokoh, tempat,
peristiwa, tarikh/ masa turut tercapai apabila murid membuat interpretasi
melalui ketokohan Parameswara ini. Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), murid bukan
sekadar membuat analisis terhadap fakta-fakta yang diperolehi malah membuka
ruang bagi mereka untuk membuat tafsiran baru terhadap permasalahan sejarah. Dapatlah
disimpulkan sumber pengajaran dan pembelajaran seperti bahan elektronik ini
mampu membawa murid menginterpretasi pelbagai peristiwa sejarah.
2.3 Menarik
Minat Terhadap Mata Pelajaran Sejarah
Menurut Abdul Razaq dan Isjoni (2009), seorang guru akan dianggap berjaya
sekiranya mampu menarik perhatian murid terhadap pelajaran yang diajar olehnya.
Jadi, penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran sekali lagi sangat
memainkan peranan penting bagi menarik minat murid terhadap mata pelajaran
Sejarah.
Sehubungan
itu, guru sejarah haruslah sentiasa kreatif dalam mengolah sumber PdP yang
sentiasa memikat hati murid-muridnya. Sebagai contoh, guru dapat membawa bahan
maujud seperti baju Melayu, tengkolok dan pakaian tradisional dalam mengajar
tajuk berkaitan Kesultanan Melayu Melaka ataupun budaya masyrakat di Malaysia.
Persembahan tersebut pasti akan membuat murid berasa kagum dan sedikit sebanyak
menarik minat mereka terhadap mata pelajaran sejak bermula dari sekolah rendah
lagi.
Seterusnya,
seseorang guru sejarah juga hendaklah memulakan pengajaran dengan menyediakan
set induksi yang dapat menarik perhatian murid kepada guru dan pengajarannya.
Jadi, guru boleh membawa sumber bahan bercetak seperti gambar-gambar bangunan lama
bagi set induksi tersebut. Semasa fasa perkembangan pula, guru Sejarah boleh
menggunakan slaid powerpoint agar
dapat mempersembahkan maklumat yang teratur dengan menggunakan sumber bahan
elektronik yang memudahkan murid mengikuti pengajaran dengan berkesan (Aszoura
Muhamed Salleh, 2007).
Tuntasnya, seorang guru sejarah perlu
peka terhadap Teori Kecerdasan Pelbagai (TKP) yang terdapat pada diri setiap
murid agar dapat memudahkan beliau mengenalpasti tahap kebolehan mereka.
Terdapat 8 jenis TKP iaitu verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang,
naturalis, kinestetik, muzik, interpersonal dan intrapersonal (Kementerian
Pelajaran Malaysia, 2001). Setelah mengetahui kecerdasan mereka, guru boleh mempelbagaikan
sumber pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat murid tehadap subjek
Sejarah.
2.4 Meningkatkan
Daya Ingatan Terhadap Fakta Sejarah
Mata pelajaran Sejarah turut seringkali
dikaitkan dengan menghafal fakta yang terdapat di dalam sesebuah buku. Jadi,
jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh seorang guru akan
menentukan tahap dalam meningkatkan daya ingatan terhadap fakta Sejarah yang
dipelajari pada hari tersebut dan seterusnya kebolehupayaan murid menghuraikan
semula fakta sejarah yang telah dipelajari.
Memandangkan
mata pelajaran Sejarah sering dianggap susah, guru dapat menggunakan sumber PdP
seperti radio dan kaset ataupun CD semasa mengajar murid berkaitan dengan tajuk
Identiti Negara Kita dengan membawa murid menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Secara
tidak langsung, murid telah mampu mencapai standard pembelajaran 9.2.3, Sejarah
Tahun 5 iaitu menyatakan warna dan lambang pada bendera kebangsaan (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2014). Lirik yang terdapat pada lagu tersebut mudah
diikuti dan sentiasa berligat di minda murid apabila dinyanyikan.
Selain
itu, guru juga dapat mengedarkan bahan bercetak seperti risalah yang di
“bold”kan atau diwarnakan untuk memudahkan mengingati fakta-fakta sejarah yang
penting. Cara tersebut kebanyakannya akan membantu murid meningkatkan lagi
ingatan mereka terhadap isi mata pelajaran Sejarah yang dipelajari. Nota
tersebut turut dapat digunakan untuk tujuan rujukan pada masa akan datang.
Jelaslah bahawa cara guru tersebut dalam mengaplikasikan sumber pengajaran dan
pembelajaran mampu membantu murid menunjukkan kefahaman terhadap fakta Sejarah
yang telah dipelajarinya.